Wednesday 12 December 2012

Hayati & Teladani Amalan Nilai Murni



Nilai murni hendaklah sentiasa diamati dan diamalkan dalam kehidupan seharian .

Ketenangan Jiwa




Bagi mendapat ketenangan jiwa dan motivasi diri , hayatilah video ini .

Tuesday 4 December 2012

KENALI BUAH NAGA


Buah Naga adalah buah daripada sejenis pokok kaktus. Ia ditanam secara komersial di Vietnam dan Australia, walaupun ia berasal dari Amerika Selatan. Buah naga yang matang adalah seberat lebih kurang 400 gram tetapi ada juga yang membesar sehingga lebih satu kilogram!
Isi buah naga berwarna putih, merah, atau ungu dengan taburan biji-biji yang berwarna hitam yang boleh dimakan. Tekstur isinya adalah seperti isi tembikai, manakala rasanya pula adalah seperti buah kiwi. Ciri-ciri unik inilah yang menjadikan buah naga amat sesuai dijadikan ramuan dalam salad buah-buahan.

Spesies lain 



Nama lain bagi buah naga ialah pir strawberi, buah kaktus, pitaya, pitahaya, atau kaktus orkid. Dua spesies yang sering ditanam secara komersial ialah Hylocereus undatus(isi putih) dan Hylocereus polyrhizus(isi merah). Spesies lain yang kurang terkenal ialah Seleniereus megalanthus, yang mempunyai isi putih dan berkulit kuning.


 Bunga 














Bunga pokok naga mengeluarkan bau wangi yang menarik perhatian serangga dan kelawar, yang bertindak sebagai agen pendebungaan. Bunga ini biasanya kembang hanya untuk satu malam dan selepas subuh, bunganya mula kuncup. Yang menarik ialah kaktus ini berupaya menyimpan air. Tidak hairanlah buah naga mengandungi 80% air, selain kandungan vitamin C yang tinggi berbanding tembikai dan epal.


Zat makanan



Zat makanan lain yang terkandung di dalam buah naga ialah serat, kalsium, zat besi, dan fosforus yang cukup bermanfaat untuk merawat penyakit darah tinggi. Buah naga berisi merah pula sangat baik untuk memperbaiki penglihatan mata kerana kandungan karotenoidnya yang tinggi. Fitokimia di dalam buahnya juga diketahui dapat merendahkan risiko kanser.


Industri buah-buahan di luar negara menggunakan buah naga dalam pembuatan wain. Selain buah, bunga dan batang buah naga daripada spesies Selenicereus grandiflorus khususnya, digunakan dalam pembuatan ubat-ubatan yang memberikan kesan baik pada salur darah koronari dan menggalakkan peredaran darah yang baik di dalam tubuh.

KHASIAT BUAH NAGA














Masih ramai rakyat negara ini tidak tahu cara memakan buah ini kerana bentuknya yang ganjil, dengan kulit luar berwarna merah dan mempunyai sayap seperti seekor naga sehingga ia mendapat nama buah naga (dragon fruit).
Jangan ketawa jika ada orang yang memotong kulitnya seperti memakan buah epal, walaupun cara sebenar memakan buah naga ialah dengan memotong dua dan menceduk isinya dengan menggunakan sudu.
Bagaimanapun, di sebalik rupanya yang ganjil, buah naga daripada keluarga ‘cactacea’ yang tergolong dalam spesies kaktus dan semakin mendapat tempat di kalangan petani moden negara ini, sebenarnya kaya dengan khasiat.
Buah naga mempunyai isi seperti buah kiwi. Pada masa ini, buah naga yang isinya berwarna putih lebih mudah didapati di pasaran, tetapi mengikut pakar pemakanan dan perubatan, buah yang isinya berwarna merah mempunyai lebih banyak khasiat.
Secara amnya, pakar sependapat dan mengakui buah naga kaya dengan potasium, ferum, protein, serat, sodium dan kalsium yang baik untuk kesihatan berbanding buah-buahan lain yang diimport.
Mengikut wakil Johncola Pitaya Food R&D, syarikat penanaman dan penyelidikan buah naga merah terbesar di negara ini, AL Leong, buah kaktus madu itu cukup kaya dengan pelbagai zat vitamin dan mineral yang boleh membantu meningkatkan daya tahan dan mengurangkan metabolisma dalam badan manusia.
“Kajian menunjukkan buah naga merah ini sangat baik untuk sistem penghadaman dan peredaran darah. Ia juga memberi tindak balas memberangsangkan untuk mengurangkan tekanan emosi dan meneutralkan toksik dalam darah.
“Kajian juga menunjukkan buah ini boleh mencegah kanser usus, selain mencegah kandungan kolesterol yang tinggi dalam darah dan pada masa sama menurunkan kadar lemak dalam badan,” katanya.
Secara keseluruhan, setiap buah naga merah mengandungi protein yang mampu mengurangkan metabolisma badan dan menjaga kesihatan jantung; serat (mengawal kanser usus, kencing manis dan diet); karotin (kesihatan mata, menguatkan otak dan menghalang penyakit); kalsium (menguatkan tulang) dan fosferos (pertumbuhan tisu badan).
Buah naga juga mengandungi zat besi untuk menambah darah; vitamin B1 (mengawal kepanasan badan); vitamin B2 (menambah selera); vitamin B3 (menurunkan kadar kolesterol) dan vitamin C (menambah kelicinan, kehalusan kulit serta mencegah jerawat).
Leong berkata, satu lagi fakta menakjubkan ialah berdasarkan kajian terkini, khasiat buah naga tidak terhad kepada buahnya, tetapi turut wujud pada keseluruhan pokok.
Katanya, buah naga juga boleh dijadikan pencuci mulut yang lazat.
“Syarikat kami juga mengeluarkan produk jus, jem, dan wain merah daripada buah ini. Pada masa sama, buah yang belum masak boleh dimasak sup dan dicampur dengan daging, ekor atau tulang,” katanya.
Leong berkata, bunga buah naga pula boleh digoreng sebagai sayuran, dijadikan ulam dan juga boleh dikeringkan untuk dijadikan teh bunga.
“Bunga pokok ini mempunyai kadar debunga yang tinggi kerana tempoh ia mekar penuh terlalu singkat, sekali gus menyebabkan lebah dan serangga lain tidak sempat mengambil debunganya secara penuh berbanding bunga lain yang mekar berbulan-bulan.
“Debunga bunga buah naga juga mempunyai khasiat tinggi dan cukup baik untuk kesihatan manusia,” katanya.
Leong berkata, dahan pokok buah naga juga boleh dijadikan salad, ulam, digoreng dengan sambal belacan dan dimasak sup, yang terbukti berkesan untuk membuang toksik dalam badan dan mencuci perut.
“Di Amerika Selatan, dahan buah naga dihancurkan dan diperam untuk dijadikan makanan ternakan seperti lembu dan kambing. Ia terbukti mampu meningkatkan kadar susu, selain kualiti ternakan berkenaan,” katanya.
Leong berkata, pada masa ini buah naga atau nama saintifiknya ‘Epiphytes’ atau ‘Pitaya’ dan berasal dari Amerika Selatan digemari kaum Cina yang menggelarnya ‘Paw Wang Fa Kor’.
“Kita sekarang cuba mempromosikan buah ini kepada seluruh rakyat Malaysia bukan hanya kerana rasanya yang enak, tetapi juga sangat berkhasiat. Tidak hairanlah harganya mahal.
“Bagaimanapun, kita sekarang cuba menggalakkan lebih ramai orang di negara ini menanam buah naga dengan menawarkan insentif menarik, termasuk menjual pokok pada harga murah dan jaminan pembelian semula buah daripada petani,” katanya.
Leong berkata, kelebihan pokok buah naga ialah ia tahan lasak, termasuk tahan serangan serangga, berikutan ia spesies pokok kaktus, menyebabkan racun serangga tidak perlu digunakan ketika penanaman.
“Seperti kita sedia maklum, bahan makanan yang bebas daripada penggunaan racun serangga adalah yang terbaik untuk kesihatan,” katanya.
 
KEBAIKAN


# Tingkat daya tahan
# Kurangkan metabolisma badan
# Baik untuk sistem penghadaman dan peredaran darah
# Kurangkan tekanan emosi
# Neutralkan toksik dalam darah
# Cegah kanser usus
# Cegah kandungan kolesterol tinggi
# Turunkan kadar lemak